Seville raih emas 100m pertama Jamaica selepas era Bolt

Iklan
Oblique Seville dari Jamaica yang menduduki tempat pertama meraikan kemenangan acara akhir 100m lelaki semasa Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo pada 14 September 2025. - Foto: AFP

OBLIQUE Seville menewaskan rakan senegara Kishane Thompson dan Juara Olimpik Amerika Syarikat Noah Lyles untuk merangkul gelaran juara dunia acara 100 meter pada Ahad, dengan disaksikan legenda Jamaica Usain Bolt, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Seville muncul sebagai pelari Jamaica pertama sejak Bolt pada 2015 yang memenangi emas acara riben biru itu, dengan catatan peribadi terbaik 9.77 saat. Sebelum ini beliau menamatkan saingan di tempat keempat pada 2022 dan 2023.

Iklan
Iklan

Pelari terbaik musim ini, Thompson, melengkapkan kemenangan satu-dua Jamaica dengan pingat perak selepas mencatatkan 9.82 saat.

Lyles meraih gangsa dengan catatan terbaik musim ini, 9.89 saat.

Iklan

Sementara itu, Letsile Tebogo dari Botswana, pemenang perak 2023 dan juara Olimpik 200m 2024, dibatalkan penyertaannya kerana salah mula.

Bolt yang menyaksikan perlumbaan dari tempat duduk penonton sebelum itu meramalkan kemenangan satu-dua Jamaica dalam acara pecut 100 meter berkenaan.

Iklan

Kejayaan ini merupakan gelaran dunia pertama negara pulau Caribbean itu dalam acara pecut sejak Bolt memenangi gelaran berganda 100m dan 200m pada Kejohanan Dunia 2015 di Beijing. - Bernama