'Abang Fattah, tolong jaga kakak saya baik-baik' - Irfan Haris

Iklan
Irfan Haris mengakui kehidupannya selepas ini akan sedikit janggal apabila kakak kesayangannya sudah bergelar isteri kepada Fattah. Foto Instagram @irfannharis.

PENYANYI Irfan Haris mengakui kehidupannya selepas ini mungkin terasa sedikit janggal apabila kakak kesayangannya, Amira Othman kini sah bergelar isteri kepada selebriti popular, Fattah Amin.

Menurut Irfan atau nama penuhnya Irfan Haris Othman, 23, meskipun terasa kehilangan, beliau tetap gembira melihat kakaknya melalui fasa baharu dalam kehidupan berumahtangga.

Iklan
Iklan

Pelantun lagu Pesan itu juga berjanji akan terus memberikan sokongan buat kakaknya dalam masa bahagia mahupun sukar.

“Janggal hidup Haris sekarang, iyalah Kak Ya (Amira) sudah ada tanggungjawab yang lebih besar. Tapi apa yang buat kakak bahagia, saya akan terus ada untuk kakak. Itu janji saya.

Iklan

“Apa yang kita lalui, apa yang orang cakap tentang kita, saya tahu kakak pun akan sentiasa ada untuk saya," katanya ketika menjadi tetamu undangan dalam program ‘Bukak Mulut’ baru-baru ini.

Haris menerusi program sama turut menyifatkan Amira sebagai wanita yang baik, taat dan mampu menjadi isteri solehah buat Fattah.

Iklan

“Sekarang ini, kakak sudah berkahwin dan kena taat pada suami, itu penting. Tapi saya yakin, Kak Ya akan jadi isteri yang baik untuk Abang Fattah.

“Abang Fattah, tolong jaga kakak saya baik-baik sebab dia memang orang baik. Kakak saya juga layak dapat abang, sebab abang pun orang baik.

“Saya tak mahu sedih sangat sebab kita masih boleh berjumpa. Saya gembira untuk kakak dan Abang Fattah," ujar Irfan lagi.

Fattah, 35, sah bergelar suami kepada Amira dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort Sepang, pada Ahad.

Majlis akad nikah yang disempurnakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat.

Mengangkat tema Islamik al-Zauj yang membawa maksud 'dua jiwa dipertemukan oleh ALLAH', majlis tersebut mengetengahkan suasana senja dengan konsep sederhana namun sarat makna, selari hasrat kedua-dua mempelai untuk menjadikan hari istimewa mereka sebagai simbol penyatuan penuh keberkatan.

Menambah keistimewaan, pernikahan malam tersebut turut diadakan sempena ulang tahun kelahiran Fattah sendiri iaitu 14 September.

Tarikh bersejarah itu dipilih oleh Amira yang menyifatkan perkahwinan mereka sebagai hadiah paling bermakna buat suaminya.

Dalam majlis berkenaan, Fattah menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas tunai bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.