Pokok tumbang hempap kereta, dua terselamat

Iklan
Kejadian pokok tumbang dilaporkan jam 5.40 pagi melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Persona. Foto: Bomba Perak

TANJUNG MALIM – Dua individu berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Lama menghala ke Tol Behrang di sini awal pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, kejadian dilaporkan jam 5.40 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Persona.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) melibatkan lapan anggota bergegas ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah kereta dihempap pokok tumbang dengan terdapat dua mangsa di dalam kenderaan tersebut.

Iklan

Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri. Foto: Bomba Perak

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian awal sebelum mengarahkan kerja-kerja pemotongan pokok menggunakan gergaji berantai.

“Operasi terkawal jam 6.18 pagi dan ditamatkan sepenuhnya 10 minit kemudian," ujarnya.

Kejadian turut menyebabkan aliran trafik di laluan berkenaan terganggu ekoran kerja-kerja pembersihan dijalankan.