PENYOKONG Manchester United dilihat keluar dari Stadium Etihad seawal minit ke-70 selepas menyaksikan pasukan mereka diaibkan Manchester City.
Skuad bimbingan Ruben Amorim sekali lagi mempamerkan aksi longlai di tempat lawan apabila gawang Altay Bayindir dibolosi tiga kali menerusi satu jaringan Phil Foden serta dua gol daripada penyerang sensasi, Erling Haaland dalam tempoh 68 minit perlawanan.
Selepas gol kedua Haaland, ramai penyokong setia Red Devils yang hadir mula angkat kaki meninggalkan stadium sebagai meluahkan kekecewaan mereka, selain mahu mengelak kesesakan trafik.
Bahagian tempat duduk penyokong pelawat juga dilihat lebih separuh kosong menjelang penghujung perlawanan.
City hanya memerlukan 17 minit untuk memecah kebuntuan hasil jaringan Foden yang meledak gol ketujuhnya menentang United.
Gerakan dimulakan Jeremy Doku yang memperdaya Luke Shaw sebelum melakukan hantaran lintang tepat disudahkan pemain muda kelahiran Manchester itu.
Perlawanan kekal 1-0 sehingga rehat sebelum City kembali garang sebaik babak kedua bermula apabila Haaland bijak meloloskan diri daripada kawalan Matthijs de Ligt dan Shaw untuk menewaskan Bayindir.
Gol kedua penyerang Norway itu hadir selepas kesilapan Harry Maguire yang gagal mengawal bola di kawasan sendiri, sekali gus memberi ruang kepada Haaland mudah menolak masuk ke gawang lawan.
City kini melonjak ke tangga kelapan, hanya dua mata dipisahkan daripada kelompok empat teratas.
United pula semakin merudum apabila jatuh ke tangga ke-14, mengumpul mata sama banyak dengan jumlah perlawanan yang sudah diharungi.