GEORGE TOWN – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui maut selepas terjatuh dipercayai dari tingkat 21 sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Ayer Itam di sini malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.06 malam itu, mangsa yang merupakan warga tempatan ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai bawah bangunan berkenaan sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal di lokasi bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat yang dijangka dijalankan pada hari ini (Isnin).
"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan satu laporan SDR telah dibuka bagi menyiasat punca kematian daripada pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.