MANCHESTER City membuktikan keampuhan mereka dalam Derbi Manchester apabila menewaskan Manchester United 3-0 di Stadium Etihad, Manchester.
Bintang utama City, Erling Haaland muncul wira dengan dua gol pada babak kedua selepas Phil Foden membuka jaringan seawal minit ke-18.
Gol pertama hadir menerusi gerakan lincah Jeremy Doku yang berjaya melepasi kawalan pertahanan United sebelum melorongkan hantaran silang untuk ditanduk kemas Foden.
City menambah jaringan pada minit ke-53 apabila Doku sekali lagi mencipta peluang, kali ini melorongkan bola buat Haaland yang bijak menchip bola menewaskan penjaga gol United, Altay Bayindir.
Haaland menambah derita pelawat pada minit ke-68 selepas menerima lorongan Bernardo Silva.
Penyerang Norway itu mudah meninggalkan Harry Maguire sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Bayindir untuk gol kedua peribadi.
Pemain berusia 25 tahun itu hampir melengkapkan hatrik, namun percubaannya hanya singgah di tiang gol.
Pengendali City, Pep Guardiola yang sudah mula meraikan jaringan terpaksa menahan kekecewaan.
Kemenangan itu melonjakkan City ke tangga kelapan liga dengan dua kemenangan daripada empat aksi, manakala United terus tercicir di tangga ke-14 selepas hanya meraih satu kemenangan setakat ini.
“Anda boleh rasa daripada penyokong, derbi memang wajib dimenangi. Hari ini kami lakukan bersama-sama.
"Saya sangat gembira dan lega, tapi kami perlu terus fokus,” kata Haaland yang mencatat rekod 50 gol dalam 50 perlawanan Liga Perdana Inggeris di laman sendiri, rekod kedua terpantas selepas Alan Shearer.
United turut mencipta beberapa peluang melalui Benjamin Sesko dan Bryan Mbeumo, namun percubaan mereka berjaya dipatahkan penjaga gol baharu City, Gianluigi Donnarumma.
Sementara itu, kapten United, Bruno Fernandes, mengakui kelemahan pasukan: “Gol-gol mereka boleh dielakkan. Kami ada detik positif, tetapi gagal memanfaatkannya. City lebih bijak.”