KAJANG – Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki di kawasan Jalan Bukit Enggang, Sungai Long di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 8.01 pagi.
Beliau berkata, mangsa ditemui terbaring di atas jalan berhampiran kawasan bukit berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 58 tahun, bekerja sendiri serta dipercayai sedang melakukan aktiviti mendaki seorang diri.
"Mangsa ditemukan terbaring lengkap berpakaian dengan tongkat serta telefon bimbit miliknya berada di sisi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah berkaitan kejadian.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
"Hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian mangsa disebabkan saluran darah ke jantung tersumbat," katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta berhubung dengan mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Abang Faizul Abang Bujang di talian 012-9208851.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum melakukan sebarang aktiviti fizikal bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.