ALOR SETAR – Wanita yang ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati di Taman Nona, di sini pada malam Khamis lalu mempunyai lebih 20 kesan tikaman dan kelaran manakala lelaki pula mengalami lapan kesan yang sama.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati punca kematian wanita berusia 28 tahun adalah akibat tikaman di dada, manakala lelaki berusia 30 tahun maut akibat tikaman di leher.
Menurutnya, suspek berusia 29 tahun berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur yang terlibat dalam kejadian berkenaan telah berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.
“Mangsa wanita mengalami lebih 20 kesan tikaman dan kelaran di bahagian dada, leher, tangan serta kaki. Mangsa lelaki pula mengalami lapan kesan kecederaan serupa di dada, leher dan belakang badan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Ahad.
Beliau berkata, polis turut berjaya merampas senjata tajam iaitu sebilah pisau berukuran 24 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut serta dibuang dalam semak di Sungai Petani.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek adalah suami kepada mangsa wanita dan dipercayai bertindak demikian kerana cemburu.
“Pasangan suami isteri ini dipercayai berkahwin di negara jiran pada tahun 2019 dan mempunyai dua anak lelaki berusia antara dua hingga empat tahun.
“Kita perlu melakukan siasatan dengan pihak negara jiran berhubung status perkahwinan mereka,” tambah beliau.
Baderulhisham berkata, berdasarkan siasatan awal juga, pihaknya percaya suspek berhubung dengan mangsa untuk pergi ke tempat kejadian.
Menurutnya, panggilan yang dibuat itu adalah untuk memerangkap mangsa ke lokasi berkenaan.
“Suspek mempunyai rekod lampau kerana cuba mencederakan mangsa lelaki sebelum ini dan pernah ditangkap pada Ogos lalu tetapi dibebaskan dengan jaminan kerana laporan perubatan ketika itu masih belum lengkap.
"Mangsa hanya mengalami cedera ringan dalam kejadian tersebut," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita dan seorang lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Taman Nona, Guar Chempedak, Yan, Khamis lalu.