KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Kepong di sini pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 4 pagi itu melibatkan sebuah Perodua Kancil dan Honda City.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun tiba-tiba mengubah haluan ke lorong kanan kerana cuba mengelak objek di atas jalan raya.
"Akibat itu, kenderaan berkenaan melanggar sisi kiri Perodua Kancil yang berada di lorong kanan mengakibatkan ia terbabas.
"Pemandu Perodua Kancil, seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, pemandu Honda City berkenaan hanya mengalami kecederaan pada tangan dan bibir.
"Lelaki ini kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.