‘Mansuh matrikulasi akan beri kesan besar kepada pelajar luar bandar’

Iklan
PKPIM menegaskan program matrikulasi wajar dikekalkan sebagai laluan alternatif selain STPM bagi membantu pelajar luar bandar dan golongan memerlukan mengakses pendidikan tinggi - Gambar hiasan, gambar kecil: Muhammad Dzul Aiman

SHAH ALAM - Cadangan supaya program matrikulasi dimansuhkan akan memberi kesan besar kepada pelajar luar bandar dan golongan yang memerlukan sokongan akses pendidikan tinggi.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, program itu wajar dikekalkan kerana ia berfungsi sebagai laluan alternatif kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam memastikan peluang pendidikan lebih inklusif untuk para pelajar.

Iklan
Iklan

“PKPIM mengiktiraf bahawa STPM merupakan laluan yang mencabar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, namun pada masa sama program matrikulasi juga memainkan peranan sebagai jambatan persediaan akademik.

“Kedua-dua laluan ini mempunyai kekuatan masing-masing dan tidak wajar dipertikaikan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan
Iklan

Muhammad Dzul Aiman bagaimanapun berkata, pihaknya mendesak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperincikan kaedah pengambilan pelajar universiti awam melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) dengan lebih telus bagi mengelakkan persepsi ketidakadilan.