IPOH – [DIKEMAS KINI] Polis mengklasifikasikan penemuan mayat dalam bungkusan di tepi sungai berhampiran tanah perkuburan Orang Asli di Kampung Kerawat, Simpang Pulai pada Jumaat sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat itu mendapati mangsa meninggal dunia disyaki dipukul dengan objek tumpul.
"Siasatan mengesahkan mangsa merupakan seorang lelaki dewasa, namun butiran identitinya belum dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dijalankan menunjukkan mangsa mempunyai tatu di lengan kanan selain bertindik di kedua-dua telinga.
Katanya, mangsa ketika kejadian mengenakan kemeja-T berwarna hitam jenama Rush dan berseluar pendek.
"Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Terdahulu, media melaporkan penduduk kampung digemparkan dengan penemuan bungkusan mencurigakan yang tersangkut pada batang pokok di kawasan sungai berkenaan.
Penemuan itu dilaporkan kepada seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun sebelum beliau tampil membuat laporan polis.
Sepasukan anggota bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum mengesahkan bungkusan tersebut mengandungi mayat manusia.