Mayat lelaki ditemui tertiarap di anak sungai Temengor

Iklan
Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemui dalam keadaan tertiarap di anak sungai kawasan Air Rengat, Temengor pada Sabtu. Foto pembaca

GERIK - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap di anak sungai kawasan Air Rengat, Temengor di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada polis bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Temengor kira-kira jam 9.10 pagi.

Iklan
Iklan

"Maklumat awal memaklumkan, seorang lelaki Orang Asli berusia 32 tahun ternampak mayat ketika melalui kawasan berkenaan sekitar jam 8.25 pagi.

"Pengadu kemudian bergegas ke Pengkalan Trojan untuk memaklumkan perkara itu kepada polis bantuan TNB," katanya dalam kenyataan di sini.

Iklan

Beliau berkata, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat sebelum menemui mayat dalam keadaan tertiarap di dalam anak sungai.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri," jelasnya.

Iklan

Abdul Samad berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Pada Jumaat, penduduk Kampung Kerawat, Simpang Pulai digemparkan dengan penemuan satu bungkusan berisi mayat manusia yang tersangkut pada batang pokok di tepi sungai berhampiran tanah perkuburan Orang Asli.