SHAH ALAM - Sistem Dokumentasi Import Eksport Kastam Malaysia (MyCIEDS) akan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara bermula Januari 2026 sebagai langkah mencegah ketirisan hasil negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, sistem itu menjadi pemacu utama dalam usaha automasi dan pendigitalan di bawah Pelan Strategik JKDM 2025-2027.
Menurutnya, seramai 7,228 ejen penghantaran dan 1,721 syarikat yang terlibat dalam aktiviti import serta eksport di seluruh negara telah berdaftar sebagai pengguna sistem ini setakat 10 September lalu.
“MyCIEDS merupakan pemangkin transformasi hasil negara yang membolehkan JKDM menutup ruang ketirisan, memperkukuh penguatkuasaan berasaskan data, mempercepatkan digitalisasi dan meningkatkan keyakinan pelabur.
“Sistem ini dilengkapi lima modul utama termasuk pendaftaran syarikat dan pegawai, penghantaran dokumen, pelaporan, jejak audit (audit trail) serta integrasi dengan Sistem Maklumat Kastam bagi memastikan integriti serta kesahihan setiap transaksi,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, MyCIEDS mula dibangunkan pada Ogos 2024 sebelum dilancarkan secara berperingkat mengikut zon bermula Mei lalu di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
Tambahnya, ia akan diperluas ke Sabah pada November.
Menurut Anis Rizana, sistem berteknologi tinggi ini merupakan platform berasaskan web yang boleh diakses menerusi pelbagai peranti tanpa memerlukan pemasangan perisian tambahan.
“Sistem ini berfungsi sebagai platform penghantaran dokumen sokongan secara dalam talian antara pegawai kastam dan ejen penghantaran atau pengimport. Ia membolehkan proses pelepasan barang dagangan lebih pantas, mengurangkan ralat dan penipuan.
“Ia juga menjimatkan kos operasi kerana ejen tidak lagi perlu menghantar dokumen secara fizikal,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, persatuan seperti Selangor Freight Forwarders and Logistics Association (SFFLA) dan Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM) telah memberikan kerjasama baik sekali gus menunjukkan industri menyokong penuh inisiatif ini.