Masalah teknikal 'paksa' kejohanan ditunda

Iklan
Rosli (kiri) bersama legenda muaythai Thailand, Saenchai yang turut menjadi tetamu semasa RF3 Super Champion Muaythai Kuda Merah di Stadium Titiwangsa. Foto Rosli Talib Sinar Harian

KEJOHANAN Mysinar Championship Muaythai Kuda Merah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 14 dan 15 September, terpaksa ditangguhkan atas faktor teknikal.

Presiden Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob ketika mengesahkan perkembangan itu berkata, pertindihan jadual dengan RF3 Super Champion Muaythai Kuda Merah pada 9 September menjadi antara punca penangguhan tersebut.

Iklan
Iklan

“Acara 14 dan 15 September terlalu dekat dengan kejohanan yang berlangsung pada 9 September. Jadi kita putuskan untuk menundanya ke 14 dan 15 November di padang bola sepak Taman Tasik Titiwangsa.

“Kejohanan itu akan diadakan dengan lebih baik dan lebih menarik pada 15 dan 16 November nanti. Sebahagian besar petinju yang sudah dijadualkan untuk September akan dibawa ke acara tersebut, tertakluk kepada persetujuan mereka selepas menandatangani kontrak baharu,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Iklan

Menurut Rosli, kejohanan berkenaan bakal menampilkan petinju tempatan serta antarabangsa termasuk dari Thailand, Kemboja dan beberapa negara lain.

“Untuk November ini, kita sasarkan untuk membawa masuk petinju-petinju ternama seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini sebagai tarikan utama. Perkara ini akan dibincangkan bersama jawatankuasa penganjur,” ujarnya.

Iklan

Tambahnya, kejohanan tersebut juga akan menjadi Grand Final bagi penganjuran tahun ini dengan menyajikan 12 perlawanan kesemuanya dengan enam pada malam pertama dan enam lagi pada malam kedua.

“Kesemua perlawanan yang dipilih untuk Grand Final adalah pertemuan antara juara-juara terdahulu. Kemuncaknya nanti akan menyaksikan perebutan Tali Pinggang MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya),” katanya.

Dalam pada itu, Rosli juga memohon maaf kepada semua peminat dan komuniti Muay thai yang menantikan kejohanan September ini.

“Saya harap penyokong faham dan bersabar. Kita akan pastikan kejohanan November lebih mantap dan menjadi penutup yang terbaik untuk tahun ini,” katanya.

 

RF3 Super Champion Muaythai Kuda Merah 2025

KEPUTUSAN

Tali Pinggang RF3 World

Tuah 187 (Black Owl Muay Thai) kalahkan Khairy KL7 (KL7 Muay Thai)

 

Tali Pinggang Majlis Sukan Wilayah Persekutuan

Sajjad Zubaidi (Iran) tewas kepada Airief Syamiel (Malaysia)

 

Tali Pinggang Pro Muaythai Kuda Merah (Pro Boxing)

Jemis Wong Lee (Komando GGK) tewas kepada Sheikh Rahmatullah (Paskau)

 

Tali Pinggang Kementerian Belia dan Sukan Malaysia

Zahran (Yaman) tewaskan Nichow (Thailand)

 

Tali Pinggang Tourism Malaysia

Milena Calazans (Brazil) tewaskan Nur Amisha (Malaysia)

 

Tali Pinggang RF3 World

Mazlisham (Sang Saka Biru PDRM) tewaskan Wanchai (AJV Muaythai Melaka)

 

Tali Pinggang RF3 World

Nung Arawan (Thailand) tewas kepada Long Archert (Kemboja)