ARAU – Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki pelbagai jenis rokok seludup bernilai kira-kira RM270,000 dalam satu serbuan di Kampung Rambai, Padang Siding dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, tangkapan terhadap penganggur tersebut dilakukan hasil risikan menerusi Op Angkasa oleh sepasukan lapan anggota polis pada jam 10.30 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Naza Ria yang diletakkan di hadapan sebuah rumah membawa kepada penemuan pelbagai kotak rokok dipercayai tidak bercukai.
“Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, orang kena tuduh (OKT) mengaku menyimpan dalam milikannya barangan larangan iaitu pelbagai jenis rokok.
“Barangan tersebut diletakkan pada bahagian belakang tempat duduk penumpang di dalam sebuah kereta jenis Naza Ria,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Mohsin berkata, antara rampasan termasuk 12 kotak berisi 72 karton rokok jenama Nanjing, lima kotak rokok Diamond, tiga kotak Liqun serta beberapa jenama lain seperti Septwolves, Huanghelou, Sequoia dan Chunghwa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau melibatkan lima kes berkaitan dadah dan satu kes jenayah.
“Ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Suspek kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Arau sehingga 14 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tidak bercukai.