KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan isterinya Nur Syazwani Mizuana Shahril tidak berhasrat untuk meneruskan perceraian dan memilih mahu menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak enam tahun lalu.
Perkara itu disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdul Halim, 27, ketika dihubungi Sinar Harian.
Akberdin berkata, Faisal yang sebelum ini cedera dalam insiden simbahan asid tahun lalu bersama isterinya mengambil keputusan dengan bersepakat untuk kembali berdamai dan menjalani hidup bersama.
"Ya, mereka telah berdamai yang mana perbincangan kedua-dua pihak telah dibuat beberapa hari lalu.
"Justeru dengan penyatuan semula sebagai suami isteri, Nur Syazwani dijangka akan menarik balik permohonan cerai yang dikemukakan terhadap anak guam saya pada sebutan kes di Mahkamah Syariah Klang pada 16 Oktober depan," kata peguam itu.
Pada 2 September lalu, Nur Syazwani selaku pemohon memfailkan permohonan perceraian bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 iaitu perceraian secara baik, di Mahkamah Rendah Syariah Klang.
Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula permohonan berkenaan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim.
Untuk makluman, Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.