GUA MUSANG - Seorang pekerja ladang ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai senjata dalam serbuan di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit di sini pada Rabu.
Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang semasa Op Laras yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan lanjut dalam rumah tersebut menemukan sebuah beg hitam di atas lantai mengandungi dua laras senapang patah dan satu laras pistol buatan sendiri.
“Turut dijumpai satu botol plastik berpenutup merah berisi 21 butir peluru hidup Bore 12 pelbagai jenis.
"Serta sebilah pedang berhulu kayu bersarung kayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ujarnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyimpan atau menggunakan senjata api serta amunisi tanpa kebenaran.