WARSAW - Poland menembak jatuh dron dipercayai milik Rusia di ruang udara negara itu Rabu.
Ia merupakan tembakan langsung pertama dilancarkan negara anggota Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) setelah konflik Moscow-Ukraine berlarutan selama lebih tiga tahun lalu.
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk berkata, ia adalah detik paling hampir dengan konflik terbuka sejak Perang Dunia Kedua.
"Tetapi, tiada sebab untuk percaya kita sudah berada di ambang peperangan," ujarnya.
Difahamkan, operasi dilancarkan jet pejuang F-16 milik Warsaw turut mendapat bantuan F-35 dimiliki Belanda dan pesawat pengawasan AWACS Itali dan pesawat pengisian bahan api di udara NATO.
Salah sebuah dron itu terhempas di rumah kepunyaan pesara, Tomasz Wesolowski di perkampungan Wyryki-Wola.
Beberapa serpihan pesawat tanpa juruterbang (UAV) lain dikesan di kawasan padang di tenggara negara itu.
Sementara itu, Moscow menafikan mereka bertanggungjawab terhadap insiden itu setelah diplomat kanan di Poland mendakwa dron tersebut datang dari arah Ukraine.
Kementerian Pertahanan Rusia juga mengesahkan mereka hanya membedil kemudahan tentera di barat Kiev dan tidak pernah merancang untuk menyasarkan mana-mana sasaran di Warsaw. - Agensi