PUTRAJAYA – Kompleks dan pusat beli-belah di seluruh negara dijangka menjadi tumpuan utama sempena sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) 2025 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang September ini.
KKM dalam satu kenyataan berkata, BMSS merupakan satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan pendekatan ‘Whole of Nation’.
Sempena Sambutan BMSS, inisiatif 'Health Promoting Mall' bakal memeriahkan kompleks dan pusat beli-belah dengan pelbagai program menarik termasuk 'mall walking' (10,000 langkah), jualan 'healthy hour', senaman aerobik massa, pemeriksaan kesihatan serta pelbagai aktiviti interaktif berunsurkan kesihatan bersama pempengaruh.
Menurut kenyataan itu, antara insentif yang disediakan termasuk baucar makanan sihat, diskaun perkhidmatan kesihatan, serta promosi kesihatan melalui papan LED dan media sosial.
"Selain itu, inisiatif ‘Health Promoting Mall’ memastikan kompleks atau pusat beli-belah menyediakan persekitaran yang menyokong kepada pembudayaan hidup sihat, menggalakkan pemilihan makanan yang sihat dan selamat, aktiviti fizikal secara berkala dan menyediakan fasiliti yang mesra kepada semua lapisan masyarakat," kata kenyataan itu lagi.
KKM turut menekankan kolaborasi strategik dengan melibatkan pengurusan pusat beli-belah, peruncit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat.
Selain kompleks dan pusat beli-belah, BMSS turut disambut oleh agensi kerajaan, swasta, institusi pendidikan, NGO, MyCHAMPION dan komuniti.
Orang awam dipelawa untuk sama-sama memeriahkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di kompleks dan pusat beli-belah seluruh Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari infosihat.moh.gov.my