SUNGAI PETANI - Seorang lelaki tergamak melakukan perbuatan sumbang mahram dengan anak tiri berusia 15 tahun dalam kejadian di Pantai Merdeka, di sini beberapa bulan lalu.
Tukang rumah berusia 51 tahun itu disyaki melakukan perbuatan terkutuk terbabit ketika keluarga itu termasuk mangsa bermalam di sebuah penginapan di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, suspek telah ditahan di rumahnya dekat Kuala Ketil awal pagi Khamis bagi membantu siasatan.
"Permohonan reman dilakukan di Mahkamah Sungai Petani dan suspek direman selama tujuh hari," katanya.
Menurutnya, mangsa yang tinggal di Pulau Pinang telah bertindak membuat laporan polis di Butterworth sebelum itu.
"Hasil rakaman percakapan awal mangsa, kita dimaklumkan kejadian rogol itu telah dilakukan beberapa kali sebelum ini di rumah suspek di Kuala Ketil dan rumah keluarga mangsa di Butterworth, Pulau Pinang.
"Kita telah menghantar mangsa untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan sedang menunggu laporan perubatan berhubung kejadian," katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.