SHAH ALAM - Portal yang didakwa dapat mengakses data peribadi rakyat Malaysia iaitu laman web Caghi.com telah pun disekat sejak Jun 2022.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Rabu.
Menurut Fahmi, pihaknya mengesahkan laman web itu telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Untuk maklumat yang lebih terperinci dan terkini, boleh rujuk dengan pihak MCMC tapi memang saya boleh sahkan laman web tersebut telah disekat oleh MCMC sejak Jun 2022,” katanya ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet.
Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook mengenai seorang pengguna yang mendakwa data peribadi rakyat Malaysia bocor di sebuah laman sesawang.
Laman tersebut didapati mendedahkan kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, rekod pendaftaran dan lesen kenderaan, maklumat sulit perbankan serta informasi perniagaan.
Dia mendedahkan, segala maklumat sensitif termasuk nombor pengesahan kad (CVV) tiga digit yang dicetak pada bahagian belakang kad debit atau kredit juga dipaparkan, malah boleh diakses orang ramai.