PERBADANAN Wakaf Selangor (PWS) mensasarkan kutipan wakaf tunai sehingga RM14 juta manakala wakaf khas RM60 juta pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, bagi wakaf tunai, sejumlah RM6 juta berjaya dikutip agensi berkenaan sementara wakaf khas pula RM27 juta.
Ujarnya, beliau optimis dapat mencapai sasaran kutipan maksimum RM14 juta pada tahun ini.
"Kita jangkakan sehingga hujung tahun ini, syarikat swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menyumbang untuk wakaf tunai serta wakaf khas," katanya pada sidang media sempena Program Santai Boling PWS Bersama Rakan Media 2025 di Shah Alam baru-baru ini.
Tambahnya, walaupun hanya berbaki empat bulan, Anuar Hamzah menjelaskan perkara tersebut tidak mustahil dapat dicapai melalui kempen serta penerangan berkaitan wakaf kepada orang ramai secara berterusan.
"Apa yang penting gerak kerja kita adalah untuk memahamkan masyarakat Islam bahawa mereka kena berwakaf dan perlu membudayakan wakaf ini," katanya.
Jelasnya, wakaf tunai merupakan wakaf dengan niat secara umum manakala wakaf khas pula diniatkan khas untuk kegunaan khas seperti pembinaan masjid, surau serta maahaf tahfiz.
Antara projek wakaf tunai yang sedang dilaksanakan PWS termasuk stesen minyak di Sungai Merab, Bangi.
“Hasil pembangunannya itu sebahagiannya kita beri kepada apa yang diniatkan atas tanah wakaf berkenaan iaitu kepada Masjid Sungai Ramal Luar.
“Ini bermakna masjid mendapat manfaat hasil pembangunan projek wakaf tunai ini,” jelasnya.
Orang ramai boleh menyalurkan wakaf kepada PWS melalui pelbagai platform termasuk dalam talian.