Jumpa bom mortar ketika bersih rumah lama

Iklan
Bom mortar yang ditemui pengadu ketika sedang membersihkan rumah baru dibelinya di Kampung Padang Marhum, Teluk Bakong di Bota Kanan pada Selasa. Foto: Ihsan pembaca, gambar kecil: Hafezul Helmi

PARIT - Seorang lelaki tergamam apabila menemui sebutir objek dipercayai bom mortar ketika membersihkan rumah yang baru dibelinya di Kampung Padang Marhum, Teluk Bakong di Bota Kanan pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 7 pagi itu, pengadu berusia 58 tahun menemui objek bersaiz 81 milimeter (mm) itu dalam laci meja lama rumah terbabit sebelum membuat laporan polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.

Menurut beliau, siasatan mendapati tempat kejadian merupakan rumah lama yang baru dibeli pengadu.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati objek berkenaan merupakan bom lama dipercayai tinggalan era penjajahan British.

"Bom itu bagaimanapun sudah tidak aktif kerana tiada kartrij utama di bahagian ekor yang berfungsi sebagai pencetus melontarkan mortar dari laras," katanya ketika dihubungi di sini.

Iklan

Hafezul Helmi berkata, bom tersebut kemudian dibawa balik ke pengkalan UPB IPK Perak untuk dimusnahkan.