KB Halfmarathon 2025: Pelepasan bermula 3 pagi hormati waktu Subuh

Iklan
Zamakhshari (tengah) bersama Zat Asyraff (kanan) semasa sidang akhbar KB Halfmarathon 2025 di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengawalkan masa pelepasan acara larian Kota Bharu Halfmarathon (KB Halfmarathon) 2025 pada Sabtu ini di Padang Merdeka di sini bermula jam 3 pagi bagi menghormati waktu solat Subuh.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, penambahbaikan itu dibuat kerana masih ada peserta berada di trek ketika masuk waktu solat dan ia menimbulkan isu.

Iklan
Iklan

“Jadi kita awalkan masa sebagai menghormati waktu solat. Pelepasan larian kali ini dibuat lebih awal iaitu jam 3 pagi bagi halfmarathon, 10 kilometer (km) pada 4 pagi dan 5 km pada 7.30 pagi,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Larian KB Halfmarathon, Zat Asyraff Takiyuddin.

Iklan

Menurut beliau, seramai 3,142 peserta menyertai larian kali ini berbanding 2,055 peserta tahun lalu dengan lebih 66 peratus daripadanya terdiri daripada peserta luar Kelantan.

Ujarnya, KB Halfmarathon ini dianjurkan bersempena kempen Indahnya Kelantan di mana peserta bukan sahaja berlari, tetapi berpeluang bercuti bersama keluarga.

Iklan

“Maklumat setakat ini menunjukkan hotel-hotel di sekitar Kota Bharu sudah penuh ditempah. Berbanding lokasi lain, Kota Bharu menjadi tarikan kerana kawasannya landai dan sesuai untuk aktiviti larian,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau berkata, acara itu menampilkan tiga kategori iaitu Halfmarathon 21 kilometer (km), 10 km dan Fun Run 5 km.

Ujarnya lagi, larian tersebut menampilkan tema hitam putih bersempena warna bendera Jajahan Kota Bharu dan turut menampilkan pelari jarak jauh Malaysia yang merupakan pasangan suami isteri, Nik Fakaruddin Ismail serta Nur Amelia Musa.