TUNIS – Pihak berkuasa Tunisia menafikan laporan bahawa salah sebuah kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa aktivis pro-Palestin telah diserang dron.
Jurucakap Pengawal Negara di Tunis memaklumkan kepada AFP bahawa tiada dron dikesan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Ia sememangnya dakwaan tidak berasas. Pemeriksaan awal menunjukkan letupan itu berpunca dari dalam kapal tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, penganjur misi untuk memecahkan kepungan haram di Gaza itu mendakwa kapal yang membawa bendera Portugal itu menjadi sasaran serangan pesawat tanpa pemandu (UAV) ketika ia berlabuh di luar pelabuhan Sidi Bou Said.
Kesemua penumpang dan kru bagaimanapun dilaporkan terselamat.
“Family Boat dibedil di perairan Tunisia dan menyebabkan kemusnahan pada dek utama,” ujar jurucakap GSF.
Beberapa video yang dikongsi menerusi Instagram pula memaklumkan ‘peranti pembakar’ telah mencetuskan kebakaran dalam kapal berkenaan, namun api berjaya dikawal.
Difahamkan, flotila bantuan yang berlayar dari Barcelona tiba di Tunisia pada Ahad. – Agensi