PENGENDALI skuad ragbi Perlis, Mohd Hafiz Zainon menyifatkan percaturan menggabungkan pemain berpengalaman dan muka baharu menjadi kunci utama kejayaan pasukannya menewaskan Kelantan 41-30 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Agong di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar pada Sabtu.
Menurutnya, kombinasi itu membolehkan setiap taktikal berjalan lancar, selain diperkukuh dengan semangat juang tinggi dan sikap tidak mudah berputus asa yang ditunjukkan pemain.
Bagaimanapun, Mohd Hafiz mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki segera menjelang pertembungan menentang Selangor pada perlawanan kedua selepas lawan mereka itu mencatat kemenangan besar 46-3 ke atas Kedah di Alor Setar.
“Selangor pasukan yang baik dan tidak boleh dianggap mudah. Untuk perlawanan seterusnya, fokus kami kepada kerjasama dalam pasukan kerana kami percaya gandingan mantap mampu menghadirkan ke-putusan positif,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan pasukan atas sokongan berterusan.
“Saya berharap skuad Piala Agong Perlis dapat melangkah hingga ke peringkat kalah mati, malah berjuang untuk menjejakkan kaki ke pentas akhir edisi 2025,” katanya.
PIALA AGONG 2025
KUMPULAN A
Perlis 41 - 30 Kelantan
Kedah 3 - 46 Selangor
KUMPULAN B
Johor 122 - 17 Pahang
Terengganu 49 - 11 Kuala Lumpur