Tragedi Sungai Linggi: Bedah siasat sahkan dua beradik lemas

Iklan
Keputusan bedah siasat terhadap dua beradik yang meninggal dunia dalam kejadian kereta menggelongsor masuk ke Sungai Linggi pada Khamis lalu adalah disebabkan lemas tanpa sebarang unsur kekerasan. Gambar kecil: Alzafny

SEREMBAN - Keputusan bedah siasat terhadap dua beradik yang meninggal dunia dalam kejadian kereta menggelongsor masuk ke Sungai Linggi pada Khamis lalu adalah disebabkan lemas tanpa sebarang unsur kekerasan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan
Iklan

“Bedah siasat yang dijalankan pada 5 September mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat lemas. Tiada sebarang unsur kekerasan dikesan ke atas tubuh mangsa,” katanya.

Dalam kejadian Khamis, dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Iklan

Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan, sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.

Susulan itu bapa mangsa berusia 46 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian terbabit.

Iklan

Alzafny memaklumkan, status pengislaman dua kanak-kanak tersebut masih dalam siasatan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEINS).

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini seramai 15 individu telah diambil keterangan termasuk bekas isteri suspek yang merupakan ibu kepada mangsa serta beberapa saksi di lokasi kejadian.

"Setakat ini dua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 September hingga 11 September untuk siasatan lanjut.

“Siasatan memerlukan sedikit masa lagi untuk dilengkapkan bagi membolehkan siasatan yang adil dan telus dapat dijalankan dari semua aspek melibatkan keterangan saksi, bukti forensik dan elemen-elemen lain sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwa raya," katanya.

Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.