KUALA LUMPUR - Pakar-pakar air bawah tanah dari seluruh dunia akan menyertai Persidangan Air Bawah Tanah Antarabangsa IGM atau IGM International Groundwater Conference (IIGC) 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Persidangan pada 10 hingga 11 September 2025 itu akan membincangkan isu semasa berkaitan air bawah tanah, teknologi dan strategi pengurusan sumber secara lestari.
Acara ini dianjurkan oleh Geowater Sdn Bhd dengan kerjasama Institut Geologi Malaysia, UKM, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
Menurut kenyataan penganjur, persidangan antarabangsa ini bukan sahaja menjadi platform rangkaian bagi para profesional dan pelajar dalam bidang geologi serta hidrogeologi, malah menyokong usaha negara dan global dalam pengurusan sumber air yang mampan, selaras dengan keperluan masa depan terhadap keselamatan air dan kelestarian alam sekitar.
"Beberapa organisasi antarabangsa dijadualkan hadir sebagai penceramah jemputan, termasuk IGRAC (International Groundwater Resources Assessment Centre) iaitu agensi tunggal air bawah tanah di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), IAH (International Association of Hydrogeology) iaitu persatuan terbesar pengamal air bawah tanah antarabangsa," kata kenyataan itu pada Isnin.
Selain itu, DELTARES, sebuah institut penyelidikan air terkemuka dunia dari Belanda, Queensland University of Technology (QUT), Australia, yang terkenal dalam penyelidikan sains alam sekitar, turut menyertai persidangan.
"Institut Teknologi Bandung (ITB), sebuah universiti penyelidikan awam ternama di Indonesia, juga antara yang akan terlibat dalam persidangan ini," tambah kenyataan itu lagi.
Persidangan dua hari itu akan dimulakan dengan bengkel pra-acara pada 10 September yang merangkumi topik berkaitan air bawah tanah seperti geokimia dan geofizik, sebelum diteruskan dengan sesi persidangan utama pada 11 September di Auditorium AST Teknopolis, UKM Bangi.
Maklumat lanjut mengenai persidangan boleh diperoleh di https://www.igm.org.my/news/150-iigc-2025