KAJANG – [DIKEMAS KINI] Dua buah kilang musnah dalam kebakaran di Jalan Sinaran 6, Kawasan Perindustrian Sinaran di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.45 petang.
“Sebaik menerima laporan, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn digegaskan ke lokasi dan tiba pada jam 2 petang.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan dua buah kilang, masing-masing berkeluasan anggaran 80 x 150 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan sebuah kilang plastik yang terbakar kira-kira 20 peratus dan sebuah kilang sarung tangan yang terbakar kira-kira 80 peratus.
“Operasi ini membabitkan seramai 38 anggota dengan kekuatan aset empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), lima unit tangki air, sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP) serta sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Kajang, Sri Kembangan, Bangi, Cyberjaya, Shah Alam, Hang Tuah serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Balakong,” katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, api berjaya dikawal pada jam 3.14 petang selepas kerja-kerja pemadaman dijalankan menggunakan pili bomba serta jentera tangki air.
“Pemadaman dilaksanakan menerusi lima aliran sepanjang 400 kaki dengan tujuh pancutan nozzle.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran ini,” katanya.