Armada, Srikandi Muda sepakat namakan Muhyiddin calon PM Bersatu

Iklan
Nurul Ezzati , Muhammad Hilman. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Dua sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu Armada dan Srikandi Muda, sepakat menamakan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, Muhyiddin yang mesra disapa ‘Abah’ merupakan sosok paling layak menerajui parti dalam usaha menawan semula Putrajaya sekitar dua tahun lagi.

Iklan
Iklan

“Dalam PRU16 akan datang, kita mahu Abah sebagai calon Perdana Menteri kita.

“Beliau akan membawa kita ke Putrajaya nanti,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.

Iklan

Gesaan itu dibuat susulan timbul khabar angin wujudnya pihak tertentu dalam Bersatu yang didakwa cuba mendesak Muhyiddin berundur daripada kepimpinan parti.

PAT Bersatu berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 September, dengan kehadiran pemimpin dan 2,555 perwakilan daripada 202 bahagian seluruh negara.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; serta barisan Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

PAT ke-8 kali ini mengangkat tema “Bersatu Menuju Kemenangan” yang menekankan keutuhan muafakat, kepelbagaian pandangan dan semangat kebersamaan sebagai kunci kekuatan parti.

Sementara itu, Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Ezzati Azmi turut menyatakan sokongan agar Muhyiddin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mewakili parti pada PRU16.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan dan ahli Bersatu supaya mengelak daripada mencetuskan perbalahan dalaman yang boleh merugikan parti.

“Jadi, Srikandi Muda Bersatu mahu Muhyiddin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mewakili parti ini sehingga PRU16 kita tawan (menang),” katanya.