Muhyiddin 'tok bidan' Bersatu bentuk disiplin, prinsip ahli parti - Mohamed Azmin

Iklan
Mohamed Azmin ketika sesi penggulungan PAT Bersatu ke-8 di IDCC), Shah Alam pada Ahad. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin diibaratkan sebagai ‘tok bidan’ yang melahirkan parti dan bertanggungjawab membentuk prinsip, nilai serta disiplin ahlinya.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, meskipun parti itu baru menjengah usia sembilan tahun, Muhyiddin berjaya meyakinkan rakyat bahawa Bersatu adalah pilihan utama, bukannya UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau percaya tidak ramai yang berani menyertai Bersatu kerana risikonya tinggi, sambil memuji kesetiaan anggota yang memilih parti berasaskan prinsip.

“Saya percaya tidak ramai yang berani bersama Bersatu kerana risikonya cukup tinggi. Tetapi kalau mahu laba (keuntungan), masuklah PKR atau PH.

Iklan

“Bukan setakat laba, pahala pun diterima oleh sesiapa yang berada di sana! (dengan nada sinis).

“Bersatu bukan lahir di istana, tetapi daripada insan bernama Muhyiddin. Beliau telah ‘membidankan’ kita, membentuk kita semua menjadi ahli yang berdisiplin serta berpegang pada nilai dan prinsip,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.

PAT Bersatu berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 September, dengan dihadiri pemimpin dan 2,555 perwakilan daripada 202 bahagian seluruh negara.

Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan beberapa pemimpin lain.

Tema PAT kali ini ialah “Bersatu Menuju Kemenangan” yang menekankan keutuhan muafakat, kepelbagaian pandangan dan semangat kebersamaan sebagai kunci kekuatan parti.