KLUANG – Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam berjaya menangkap seekor buaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Rahman Andak, Simpang Renggam pada Sabtu.
Komander Operasi BBP Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Syawal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.15 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan tersebut, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama enam anggota dihantar ke lokasi sejauh 15 kilometer.
“Setibanya di lokasi pada jam 8.35 pagi, didapati seekor buaya berukuran empat kaki berada dalam kawasan sekolah.
“Kejadian terbabit disedari pengawal keselamatan sekolah sebelum dimaklumkan kepada guru dan seterusnya pihak bomba dihubungi untuk mendapatkan bantuan.
“Pihak bomba berjaya menangkap buaya berkenaan menggunakan satu penjerut. Mujurlah, ketika kejadian, tiada pelajar berada di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Ahmad Syawal berkata pihaknya tidak dapat memastikan dari mana reptilia itu datang, namun dipercayai tersesat masuk ke kawasan sekolah berkenaan.
Jelasnya, pihak bomba sudah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
“Buat sementara waktu, buaya tersebut ditempatkan di balai bomba,” katanya.