Pusat sehenti tenaga kerja KESUMA diperluas ke seluruh negara

Iklan
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyampaikan amanat pada Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2025 pada Sabtu. Foto Bernama

KEPALA BATAS - Pusat Sehenti Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang menempatkan semua perkhidmatan utama kementerian di bawah satu bumbung akan diperluas ke seluruh negara pada akhir tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pusat itu adalah bagi memudah cara penyampaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh KESUMA kepada pekerja, majikan dan kesatuan tanpa perlu berulang-alik ke pelbagai lokasi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, empat Pusat Sehenti Tenaga Kerja KESUMA telah diwujudkan secara rintis iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.

"Setakat ini, sambutan agak baik tetapi kita biarkan ia matang dahulu... hingga hujung tahun ini kita akan perhatikan, dan kalau dah mantap operasi pusat tenaga kerja maka kita akan perluaskan ke negeri lain di seluruh negara,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Bertam hari ini.

Iklan

Antara agensi yang terlibat dalam pusat sehenti ialah Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Jabatan Tenaga Manusia, Mahkamah Perusahaan Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara serta Talent Corporation Malaysia Berhad.

Steven Sim turut mengumumkan bahawa Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan melaksanakan Kursus Train-The-Trainer secara percuma untuk melahirkan 100 pakar latihan dalam bidang Perhubungan Industri bagi memperkukuh keupayaan institusi dan memberi pendedahan bermanfaat kepada kesatuan sekerja di seluruh negara.

Iklan

Beliau berkata, kursus itu ditawarkan khususnya kepada pengamal perusahaan industri daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) bagi tujuan peningkatan kemahiran.

Selain itu, Steven Sim mengumumkan kelulusan bantuan kewangan berjumlah RM100,000 kepada MTUC bagi tahun ini susulan permohonan rasmi yang diterima daripada kesatuan berkenaan pada 22 Ogos lepas.

Terdahulu, beliau menyampaikan lima anugerah sebagai tanda penghargaan kepada tokoh dan kesatuan sekerja yang telah banyak menyumbang dalam memperjuangkan kepentingan pekerja di negara ini. - Bernama