DUA tonggak pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces dan Dion Cools akan terlepas perlawanan persahabatan seterusnya menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin ini.
Pengendali skuad negara, Peter Cklamovski berkata, kedua-dua mereka akan dijadualkan pulang lebih awal ke kelab masing-masing dan ia juga sebagai sebahagian perancangan skuad kebangsaan.
“Ya, itu memang sebahagian daripada perancangan. Dion juga akan kembali ke kelab esok. Apa yang kami lakukan adalah untuk mengekalkan keseimbangan, memastikan kesegaran pemain serta dalam masa sama terus membina identiti pasukan.
“Kami mahu pemain memberi tumpuan kepada kelab masing-masing pada September ini sebelum kembali bersama pasukan kebangsaan pada kem Oktober yang penting untuk kami memburu enam mata,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Garces akan kembali ke kelabnya, Deportivo Alaves dan Cools ke Cerezo Osaka selepas bermain penuh 90 minit dalam kemenangan 2-1 Harimau Malaya ke atas Singapura pada Khamis.
Menurut beliau, ketiadaan Garces dan Cools membuka ruang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan berintensiti tinggi menentang Palestin.
“Ia peluang buat pemain lain. Mentaliti pasukan sentiasa jadi keutamaan. Siapa pun yang beraksi, kita akan tetap bersatu, bermain dengan gaya kita dan menghadapi cabaran daripada lawan yang memiliki corak permainan berbeza.
“Perlawanan ini satu ujian yang baik untuk kami terus berkembang dan memperbaiki kualiti pasukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cklamovski turut tidak menolak kemungkinan akan memanggil pemain daripada senarai bersedia sekiranya memerlukan.
“Ia bergantung kepada tahap kecergasan pemain lain. Kita akan lihat bagaimana keadaan pemain malam ini dan juga ketika sesi pemulihan esok pagi. Selepas itu kita akan analisis perlawanan, nilai apa yang perlu diperbaiki sebagai sebuah pasukan sebelum buat keputusan dalam tempoh 24 jam.
“Buat masa ini, tiada perubahan,” katanya.