GUA MUSANG - Seorang pekerja ladang warga Nepal cedera parah dipercayai dipijak seekor gajah liar di sebuah ladang di Pos Blau, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Shukri Abdulah @ Muti Bahadur Bayambu, 54, mengalami kecederaan serius selepas dibelit dengan belalai, dibawa lebih kurang 100 meter dari lokasi kejadian serta dipijak gajah terbabit.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi dengan menunggang motosikal.
“Kemudian dia terlihat kesan tapak kaki gajah di atas jalan ladang tersebut.
“Tiba-tiba seekor gajah menyambar mangsa dengan belalainya lalu membawa lelaki itu lebih kurang 100 meter dari lokasi kejadian sebelum memijaknya, kemudian meninggalkan dia di bawah bukit,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, mangsa dijumpai oleh pekerja ladang lain selepas mendengar jeritannya dalam kesakitan.
Ujarnya, lelaki terbabit telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.