PORT DICKSON - Dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapa mereka terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jambatan Tanjung Agas Teluk Kemang di sini pada Khamis.
Mangsa yang maut merupakan kanak-kanak perempuan berusia lapan dan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Zulfadli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.44 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang bersama bantuan BBP Masjid Tanah digerakkan ke lokasi sejauh 19 kilometer.
“Sebaik tiba pada jam 12.05 tengah hari, didapati sebuah kereta jenis Nissan Teana terjatuh ke dalam sungai dengan empat mangsa berada di dalamnya.
“Pasangan suami itu berjaya diselamatkan orang awam sementara dua beradik itu masih terperangkap di dalam kenderaan tersebut,” Katanya menerusi kenyataan.
Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) berjaya membawa keluar kanak-kanak perempuan itu pada jam 1.28 petang dari kedalaman kira-kira tiga meter sementara adiknya berjaya dikeluarkan pada jam 1.47 petang namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
Operasi menyelamat melibatkan 10 anggota bomba dengan kekuatan satu jentera FRT dan satu pacuan empat roda Navara, serta bantuan agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan KKM.
Operasi disahkan berada dalam keadaan terkawal pada jam 2 petang.