KUALA LUMPUR – Meskipun masih menyayangi isteri, namun pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim terpaksa meneruskan proses perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Klang.
Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Faisal memaklumkan, anak guamnya tidak mahu melafazkan cerai kerana mengakui mahu menyelamatkan rumah tangga bersama isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahri.
Katanya, Faisal yang sebelum ini cedera dalam insiden simbahan asid tahun lalu, pernah melafazkan cerai pada 15 Jun dan rujuk semula sehari kemudian.
“Kita akan selesaikan pengesahan lafaz luar mahkamah itu, kemudian disusuli dengan permohonan cerai Nur Syazwani Mizuana.
“Saya menegaskan pergolakan rumah tangga anak guam tidak pernah berpunca daripada populariti atau kesibukan sebagai pemain bola sepak,” katanya.
Pada 2 September lalu, Nur Syazwani selaku pemohon memfailkan permohonan perceraian bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 iaitu perceraian secara baik.
Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula permohonan berkenaan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim.
Untuk makluman, Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.