Speedy Tigers mula garang, baham China

Iklan
The Speedy Tigers memulakan kempen Super Four Piala Asia dengan kemenangan 2-0 ke atas China di Stadium Hoki Rajgir, India, pada Rabu.

[DIKEMAS KINI] MISI memburu enam mata menyala garang apabila skuad hoki lelaki negara, The Speedy Tigers, memulakan kempen Super Four Piala Asia dengan kemenangan 2-0 ke atas China di Stadium Hoki Rajgir, India, pada Rabu.

Separuh masa pertama berlangsung seimbang apabila kedua-dua pasukan saling menguji namun gagal menembusi gawang lawan untuk menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan kekal 0-0.

Iklan
Iklan

Segalanya berubah di suku keempat. Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan membuka tirai jaringan pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti.

Mohamad Akhimullah Anuar Esook kemudian menggandakan kedudukan dua minit kemudian hasil gerakan padang kemas untuk Speedy Tigers selesa di depan.

Iklan

Kemenangan itu memastikan tiga mata pertama buat anak buah Sarjit Singh, sekali gus meniup semangat untuk mengutip baki tiga mata berdepan tuan rumah, India, pada Khamis.

Malaysia kemudian akan menutup saingan Super Four menentang Korea Selatan pada Sabtu, penentu kepada tiket ke pentas final.

Iklan

Sementara itu, Sarjit menyifatkan disiplin tinggi menjadi kunci membolehkan anak buahnya keluar pemenang perlawanan menentang China.

“Kami bermula dengan tempo tinggi, kemudian lebih banyak bersabar dan menunggu peluang untuk melakukan serangan. 

"Pemain tidak boleh terperangkap terlalu lama di kawasan sendiri, sebaliknya perlu segera melakukan push-up dari garisan pertahanan,” katanya.

Menurut Sarjit, reaksi pantas dalam aksi pertama Super Four Piala Asia juga faktor penting yang membantu skuad negara mengawal perlawanan.

“Pemain berjaya mengekalkan rentak dengan baik serta fokus hingga akhir dan membuktikan usaha keras membuahkan hasil,” katanya.