McDonald’s Malaysia bayar zakat RM300,000 kepada MAINS

Iklan
Tuanku Muhriz berkenan menerima cek cura zakat korporat bernilai RM300,000 daripada Azmir dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Hinggap, di Seremban pada Isnin.

SEREMBAN - McDonald’s Malaysia telah menyerahkan zakat korporat berjumlah RM300,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi tahun 2025 dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Hinggap, di sini pada Isnin.

Penyerahan zakat itu telah diserahkan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Iklan
Iklan

“Sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam sejak 2017, McDonald’s Malaysia komited untuk melaksanakan tanggungjawab menunaikan zakat perniagaan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Sebagai anak Negeri Sembilan, saya berbesar hati kerana dapat menyumbang semula kepada tanah kelahiran saya.

Iklan

Selain berzakat, McDonald’s Malaysia juga menyumbangkan Kotak Rezeki kepada 100 keluarga asnaf.

“Inilah nilai teras di McDonald’s Malaysia yang kami amalkan, bukan sekadar menguruskan perniagaan restoran tetapi membudayakan sikap prihatin terhadap komuniti di sekitar lokasi operasi kami,” kata Azmir.

Iklan

McDonald’s Malaysia sebelum ini telah mengumumkan jumlah keseluruhan zakat korporat sebanyak RM2 juta bagi tahun 2025, dengan keseluruhan zakat yang telah dikeluarkan sejak 2017 kini mencecah RM14 juta.

Pengeluaran zakat itu bermula selepas McDonald’s Malaysia diambil alih oleh Azmir melalui Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd sekali gus menjadikan syarikat ini milik 100 peratus orang Islam.

Komuniti setempat gembira menerima hidangan percuma ketika mengunjungi McDonald’s Pandu-Lalu Seremban 2.

Dalam pada itu, satu lagi majlis di McDonald’s Pandu-Lalu Seremban 2, McDonald’s Malaysia turut menyantuni 100 keluarga asnaf sekitar Seremban dengan mengagihkan Kotak Rezeki, selain menyumbangkan 1,000 pek hidangan percuma kepada komuniti setempat.

Istimewanya di Negeri Sembilan, McDonald’s Malaysia juga menyalurkan sumbangan tambahan sebanyak RM100,000 dalam bentuk 650 pakaian seragam dan beg sekolah kepada kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan.

Buat julung kalinya pada tahun ini, McDonald’s Malaysia menjelajah ke semua 14 negeri di Malaysia bagi menyerahkan zakat perniagaan secara terus kepada pusat-pusat zakat negeri masing-masing di restoran-restoran McDonald’s terpilih.

Majlis itu diadakan di restoran McDonald’s terpilih sebagai usaha menyantuni komuniti setempat yang memerlukan.

Sebahagian daripada keluarga yang menerima sumbangan pakaian seragam dan beg sekolah.

Sebagai sebuah syarikat yang berhasrat menjadi jiran prihatin kepada komuniti di sekitar 370 restorannya di seluruh negara, McDonald’s Malaysia setiap tahun melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan menerusi program Komuniti @ McDonald’s, termasuk sumbangan kepada anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi.

“McDonald’s Malaysia akan terus berpegang pada prinsip tanggungjawab sosial yang kami laksanakan sejak sekian lama.

“Kami percaya setiap usaha ini adalah satu amanah untuk membawa manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada kesejahteraan ummah,” tambah Azmir.

Setakat ini, McDonald’s Malaysia telah menunaikan zakat perniagaan di Perak, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan dan kini Negeri Sembilan menjadi negeri kelima dalam siri penyerahan zakat tahun 2025.