BERSEMPENA sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Yayasan Peneraju (YP) mengumumkan tambahan 3,000 slot enrolmen/kemasukan baharu bagi program pensijilan teknologi dan profesional untuk pembangunan bakat Bumiputera.
Slot tambahan tersebut dapat diwujudkan hasil penjimatan besar kos latihan selepas pelancaran skim pembiayaan baharu pada Februari 2025 sekali gus dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan enrolmen/kemasukan FY2025 kepada 12,000 berbanding 9,000 sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata, sempena meraikan 68 tahun kemerdekaan, beliau berasa bangga melihat perkembangan negara hasil usaha dan sumbangan bakat tempatan.
“YP komited untuk melihat lebih ramai bakat Bumiputera berada di barisan hadapan pembangunan negara.
“Justeru, kami menambah seberapa banyak enrolmen atau kemasukan yang boleh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, bagi bidang teknologi, lebih 90 program latihan ditawarkan termasuk Ethical Hacking, Cybersecurity, Enterprise AI and Data Practitioner serta ArchiMate® EA Foundation & Practitioner.
“Untuk kursus jangka pendek yang mendapat permintaan tinggi seperti Cybersecurity dan Artificial Intelligence, pemohon boleh memilih pakej pembiayaan yang lebih rendah sehingga RM15,000,” katanya.
Sementara itu, program profesional YP merangkumi enam pilihan utama seperti SAP, Certified Halal Executive, Certified Halal Internal Auditor, Digital Marketing, Lean Six Sigma dan PRINCE2 selain program profesional perakaunan seperti CIMA, CPA Australia, MICPA x CA ANZ, ACCA dan ICAEW.
YP menyediakan sokongan kewangan sehingga RM150,000 yang meliputi yuran pengajian, kos peperiksaan, bahan pembelajaran serta elaun sara hidup bulanan sepanjang tempoh pengajian.
Peserta yang berjaya akan ditempatkan di institusi latihan dan pembelajaran yang diiktiraf YP.
Untuk rekod, bidang perakaunan kekal sebagai pilihan paling popular dengan lebih 850 pelajar sedang mengikuti ACCA termasuk 701 melalui laluan pasca-SPM.
Dalam pada itu, sambutan terhadap laluan lain seperti CIMA, CPA Australia, ICAEW, dan MICPA x CA ANZ juga semakin meningkat.
Selain bidang perakaunan, Project Management Professional (PMP) kini mencatat 384 penyertaan manakala program baharu seperti SAP Certified Associate dan Chartered Financial Analyst (CFA) turut mencatatkan lebih 150 permohonan hanya dalam tempoh sebulan.
“Bagi golongan profesional dalam bidang kewangan dan perakaunan, khususnya yang berusia 30-an dan 40-an, kami amat menggalakkan mereka menutup jurang profesional dengan mengambil laluan berasaskan pengalaman untuk mendapatkan kelayakan perakaunan.
“YP sentiasa komited menyediakan pembiayaan yang sewajarnya agar bakat ini dapat menamatkan pengajian dan mencapai status akauntan bertauliah,” ujar Ibrahim.
Sehingga kini, lebih 19,000 permohonan telah diproses merentasi program teknologi dan profesional YP dengan hampir 9,000 enrolmen/kemasukan direkodkan pada tahun ini sahaja.
Daripada jumlah itu, sekitar 1,200 adalah dalam bidang perakaunan dan angka itu dijangka meningkat kepada 2,000 menjelang hujung tahun, jumlah tertinggi dalam sejarah YP.
Bagi program teknologi pula, lebih 7,500 peserta telah mendaftar setakat ini.
Untuk memohon, calon perlu terlebih dahulu mendapat penempatan di mana-mana Institusi Latihan dan Pembelajaran Diluluskan (ALTI) YP sebelum mengemukakan permohonan pembiayaan.
Slot tambahan ini dibuka mulai sekarang sehingga 31 Disember 2025 atau sehingga semua slot dipenuhi.
Maklumat lanjut mengenai kursus, kelayakan dan pakej pembiayaan boleh didapati di www.peneraju.org.