Selangor, Switzerland perkukuh kerjasama pelaburan

Iklan
Amirudin menerima kunjungan Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser (kiri) dalam satu pertemuan rasmi bersama kerajaan negeri pada Rabu. Turut bersama, Sze Han (kanan).

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerima kunjungan Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser dalam satu pertemuan rasmi bersama kerajaan negeri di sini pada Rabu.

Pertemuan itu sekali gus mengukuhkan hubungan erat yang terjalin sejak 1963 antara Malaysia dan Switzerland dalam pelbagai bidang, khususnya perdagangan dan pelaburan.

Iklan
Iklan

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han memaklumkan, lawatan tersebut membuktikan keyakinan pelabur Switzerland terhadap potensi ekonomi dan daya saing negeri ini.

“Pada tahun 2024 sahaja, pelaburan langsung asing (FDI) Switzerland di Selangor mencecah RM227 juta, meningkat sebanyak RM200 juta berbanding tahun sebelumnya.

Iklan

“Salah satu kisah kejayaan pelaburan Switzerland di Selangor adalah Roche Global Business Services (GBS) yang turut kami lawati lebih awal,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Rabu.

Roche GBS merupakan hab sokongan perkhidmatan global bagi syarikat farmaseutikal terkemuka dunia Roche, berperanan menyediakan khidmat kewangan, teknologi maklumat, sumber manusia dan lain-lain kepada operasi mereka di seluruh rantau Asia Pasifik.

Iklan

Sze Han berkata, kehadiran syarikat multinasional seperti Roche menunjukkan bahawa Selangor terus menjadi destinasi utama pilihan pelabur antarabangsa, khususnya dari Switzerland.

“Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama pelaburan bersama Switzerland serta meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala pada masa hadapan,” ujarnya.