OMBAK Villa Langkawi (OVL) terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan pilihan dengan memperkenalkan dua tarikan baharu yang menggabungkan elemen santai, kulinari dan gaya hidup moden.
Dua usaha yang dimaksudkan ialah Piknik di Senja by Ombak Villa Langkawi (SENJA) dan Sky Lounge Rooftop Bistro yang terletak di Kuala Melaka Inn (KMI) yang mula dibuka kepada orang ramai hujung minggu lalu.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Operasi M K Land Holdings Berhad, Nazri Tumin, inisiatif ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelancong, malah membuka peluang kepada komuniti tempatan untuk turut serta dalam pembangunan pelancongan yang mampan.
“Kami mahu pelancong melihat Langkawi dari sudut yang berbeza, bukan sekadar pantai dan pulau, tetapi juga budaya, komuniti dan gaya hidup yang unik,” katanya.
Terletak di pesisir pantai dengan latar Gunung Machinchang dan Laut Andaman, piknik menawarkan suasana santai sambil menikmati kopi artisan.
Jelas Nazri, OVL bekerjasama dengan kafe tempatan popular dalam usaha memperkukuh jaringan komuniti dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Menurutnya, pengunjung boleh menikmati detik senja yang tenang sambil bersantai di ruang terbuka yang disediakan khas untuk tetamu resort dan orang awam.
Bagi mereka yang gemarkan suasana malam yang meriah, sky lounge di tingkat enam KMI menawarkan pemandangan panoramik Padang Mat Sirat dan Laut Andaman.
Majlis pembukaan rasmi telah dimeriahkan dengan Malam Pesta Muda Mudi, sebagai penghormatan kepada legasi seni Tan Sri P Ramlee dan rakan-rakan seninya dan antara acara yang bakal berlangsung termasuk Merdeka Countdown Rooftop Party pada Sabtu.
“Dengan pelancaran Piknik dan Sky Lounge, OVL kini menawarkan spektrum pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh dari kopi tepi laut hingga makan malam bertema di atas bumbung.
Usaha ini selari dengan visi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan lestari yang memberi manfaat kepada komuniti, negeri dan negara,” ujar Nazri.