IPOH - Orang ramai khususnya rakyat Perak diminta berhati-hati dan tidak terperdaya dengan akaun palsu di aplikasi TikTok menggunakan nama dan suara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dihasilkan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Saarani dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan mengenai perkara tersebut sejak petang Selasa.
Jelasnya, dalam akaun palsu media sosial tersebut turut memaparkan maklumat dan tawaran wang ringgit tidak wujud dengan meminta orang ramai menghubungi nombor telefon tertentu untuk membuat tuntutan.
"Saya mohon orang ramai supaya tidak terperdaya kerana akaun berkenaan bukan milik saya dan segala tawaran yang dibuat juga adalah tidak benar.
"Segala bentuk bantuan kerajaan akan diumumkan melalui akaun media sosial rasmi menteri besar dan saluran-saluran rasmi kerajaan," katanya dalam hantaran tersebut pada Selasa.
Sehubungan itu Saarani memaklumkan perkara berkenaan sudah dipanjangkan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
Beliau turut meminta orang ramai membuat laporan terhadap akaun tersebut jika terlihat di aplikasi media sosial berkenaan.