Visi transformasi TH kepada institusi pelaburan Islam dirujuk kepada PM - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na’im ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 YADIM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Visi transformasi Lembaga Tabung Haji (TH) daripada institusi simpanan patuh syariah kepada institusi pelaburan Islam akan dirujuk terlebih dahulu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau akan meminta pihak pengurusan TH untuk memberikan taklimat sebelum beliau berjumpa Anwar.

Iklan
Iklan

"Saya sudah tentu akan mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri, pada asasnya kita akan dapatkan (nasihat dan pandangan).

"Saya sendiri secara peribadi sebagai menteri akan sampaikan apa yang dimaksudkan ini kepada Perdana Menteri, dan Perdana Menteri sudah tentu prihatin tentang TH. Apapun sudah tentu saya akan rujuk dengan beliau (Anwar),” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan Jasamu Dikenang Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.

Iklan

Mohd Na’im berkata, visi transformasi itu bertujuan menjadikan TH sebagai sebuah institusi pelaburan Islam yang lebih dinamik, sekali gus memperkukuh peranan TH dalam menjaga kepentingan pendeposit serta pembangunan ekonomi ummah.

Media hari ini melaporkan Pengerusi Kumpulan TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, visi transformasi itu dijangka mengubah model perniagaan TH secara asas, sekali gus membolehkannya menawarkan produk kewangan yang lebih canggih dan berorientasikan pelaburan.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, cadangan itu adalah hasrat Abdul Rashid yang memahami dengan jelas hala tuju institusi berkenaan.

Beliau berkata, dari segi pengurusan jemaah haji, TH telah membuktikan kecemerlangan apabila empat tahun berturut-turut menerima anugerah Labbaitum daripada Kerajaan Arab Saudi.

Namun, dari sudut pelaburan dan simpanan, asas serta dasar awal penubuhan TH perlu diperkukuhkan bagi memastikan institusi itu terus kukuh.

Mohd Na’im menegaskan setiap tindakan yang diambil pihak pengurusan serta Ahli Lembaga Pengarah TH mestilah menjamin kepentingan pendeposit dan kelangsungan institusi berkenaan sejajar dengan garis panduan yang telah ditetapkan.

"Ini adalah asas dan dasar yang mesti dan wajib dipatuhi oleh Pengerusi dan KPE (Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad) dan seluruh Ahli Lembaga Pengarah TH,” katanya. - Bernama