MATTA bersama RHB Bank untuk percutian lebih lancar

Iklan
Dari kiri, Timbalan Presiden MATTA, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah, Nigel, Vee Loc dan Ketua, Transaksi dan Simpanan RHB Bank Berhad, Marcus Ng Chong Yee ketika sidang akhbar MATTA Fair Kebangsaan ke-57 di Kuala Lumpur pada Selasa.

PERSATUAN Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan bahawa RHB Bank sekali lagi dinamakan sebagai Penaja Platinum Eksklusif bagi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) ke-57 yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 September ini.

Presidennya, Nigel Wong berkata, ini merupakan kerjasama kali kelima berturut-turut antara RHB Bank dan MATTA Fair yang mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak dalam menjadikan perjalanan serta percutian lebih lancar dan mudah, selain memberi nilai tambah kepada orang ramai untuk meneroka destinasi domestik mahupun antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Pengunjung boleh menantikan pelbagai promosi eksklusif dan penyelesaian kewangan di Aras 1 (Dewan Domestik) dan Aras 2 (Dewan Antarabangsa) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

"Edisi ke-57 MATTA Fair ini dijangka menjadi pameran terbesar setakat ini. Ia akan meliputi rekod 2,049 ruang pameran dengan keluasan 40,820 kaki persegi, disertai 334 syarikat pelancongan daripada pelbagai pemegang taruh dan ejen pelancongan berlesen," katanya ketika sidang akhbar MATTA Fair Kebangsaan ke-57 di sini pada Selasa.

Iklan

RHB Bank sekali lagi dinamakan sebagai Penaja Platinum Eksklusif bagi MATTA Fair ke-57 yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 September ini.

Tambah Nigel, setiap orang harus merasai keindahan melancong melalui pengembaraan, dapat melihat dunia dalam warna sebenarnya, berhubung dengan pelbagai budaya dan kembali ke rumah dengan kisah serta kenangan yang kekal sepanjang hayat.

Iklan

Menurutnya, dengan RHB Bank sebagai Penaja Platinum Eksklusif, lebih banyak peluang dapat ditawarkan kepada rakyat Malaysia bagi merealisasikan impian percutian mereka dengan lebih mudah dan tanpa kebimbangan.

"Sokongan berterusan daripada RHB Bank membuktikan kejayaan kerjasama sebelum ini dalam memajukan industri pelancongan negara.

"Ia juga mencerminkan komitmen MATTA untuk menawarkan akses lebih baik kepada penyelesaian kewangan yang melengkapi keperluan pengembara.

"Sambutan hangat daripada pengunjung MATTA Fair juga mencerminkan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap pelbagai pilihan pakej pelancongan yang ditawarkan," katanya.

Tambahnya, RHB menawarkan pelbagai manfaat perjalanan termasuk potongan harga sehingga RM1,500 bagi tiket penerbangan, hotel dan tempahan pakej pelancongan apabila menggunakan Kad Visa/-i RHB.

Selain itu katanya, pengunjung Muslim turut boleh menikmati penjimatan sehingga RM800 untuk pakej pelancongan mesra Muslim yang disusun khas oleh RHB.

Sementara itu, Ketua Kewangan Pengguna RHB Bank Berhad, Sien Vee Loc berkata, RHB bukan sekadar menawarkan perkhidmatan perbankan tetapi memberi nilai yang menjadikan kehidupan pelanggan lebih bermakna.

Menurutnya, melalui kerjasama dengan MATTA Fair, RHB memperkenalkan produk kewangan yang direka khas untuk menjadikan pengalaman melancong lebih menarik, mampu milik dan bebas kebimbangan.

"Antara produk utama termasuk Kad Debit Visa Multi-Kuransi RHB/-i, ganjaran perjalanan eksklusif, pelan ansuran fleksibel dan perlindungan perjalanan.

"Kad Debit Visa Multi-Kuransi RHB/-i yang menyokong 34 mata wang tanpa caj pertukaran terus mencatat momentum kukuh dengan perbelanjaan antarabangsa yang berganda berbanding tahun 2024 serta lebih 100,000 kad telah dikeluarkan sehingga Julai 2025," katanya.

Jelasnya, bagi memberi lebih fleksibiliti kepada pelanggan, RHB juga memperkenalkan ciri RHB Pay Later/-i, yang membolehkan pembelian menggunakan kad ini dibayar secara ansuran sehingga enam bulan.

"Pilihan ini tersedia dalam versi patuh syariah dan konvensional. Sepanjang pameran, pelanggan baharu yang membuka Akaun Multi-Kuransi RHB/-i dan memohon Kad Debit/-i akan menerima pulangan tunai RM20 dengan deposit minimum RM500 ke dalam akaun tersebut, selain peluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM20,000," katanya.

Untuk keselesaan pengunjung, kemasukan adalah percuma dan pameran dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang Jumaat hingga Ahad.

Perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.

Bagi pengunjung yang memandu, kemudahan parkir disediakan di Pintu Masuk Selatan MITEC, ruang bawah tanah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), parkir terbuka Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kompleks Mahkamah KL, The MET, MET 1 dan MET 9.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi MATTA, mattafair.org.my atau ikuti kami di Facebook, X, TikTok, Instagram @mattafair.official serta Telegram, @MATTA_Fair.