SUNGAI PETANI - Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila rumahnya di Bandar Perdana di sini diceroboh seorang lelaki dalam kejadian kira-kira 7.35 pagi Selasa.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang menjemur pakaian di halaman rumah sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam perbuatan lelaki tersebut dan tular di media sosial.
Dalam rakaman terbabit, kelihatan kelibat suspek yang datang dari luar sebelum melompat melalui tembok dan masuk ke rumah.
Mangsa yang terkejut kemudian meluru masuk ke dalam rumah bagaimanapun tidak sempat untuk mengunci pintu.
Suspek yang dikesan memegang senjata di tangan sempat melarikan sejumlah wang tunai dan telefon bimbit sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan kejadian.
Menurutnya, polis kini sedang mengenal pasti dan giat memburu suspek yang disyaki terlibat dalam kes terbabit.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.