Sanggup beratur panjang tebus bantuan SARA RM100

Iklan
Orang ramai terpaksa beratur panjang bagi menebus Bantuan SARA.

SUNGAI PETANI - Rata-rata penduduk di bandar ini mula mendapatkan barangan keperluan selepas sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tergendala pada Ahad kembali pulih.

Tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari Isnin mendapati orang ramai berpusu-pusu memilih barangan keperluan untuk ditebus menggunakan Bantuan SARA RM100 yang dikreditkan sejak Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Seorang suri rumah, Amira Mat Tahir, 39, berkata, beliau terpaksa beratur panjang untuk membuat bayaran kerana jumlah pelanggan terlalu ramai.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana hanya tiga kaunter sahaja dibuka bagi urusan penebusan.

Iklan

“Semalam diberitahu sistem tergendala, jadi hari ini saya cuba datang. Boleh beli, cuma ramai orang.

"Saya sudah beratur 25 minit, tetapi rasanya masih lama perlu tunggu. Ramai juga pelanggan tinggalkan troli sebab tak tahan menunggu lama atau ada urusan lain,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Bidin Derani, 60, dan isterinya, Norlela Abdullah, 52, meluahkan rasa syukur kerana berjaya membeli barangan asas seperti beras dan minyak masak menggunakan bantuan tersebut.

“Kami mai (datang) dengan anak. Alhamdulillah, dapat beli semua ini tanpa perlu guna duit sendiri.

"Banyak juga kami belanja sebab guna Bantuan SARA saya dan isteri, jadi jumlahnya RM200, tak payah tambah duit.

"Semalam anak dah mai nak beli, tapi tak boleh guna. Nasib baik hari ini boleh,” jelasnya.

Menurut Bidin, bantuan tersebut amat membantu mengurangkan beban kos sara hidup memandangkan harga barangan semakin meningkat.

Bagi pekerja swasta, Choo Tai Jie, 42, beliau masih belum menebus Bantuan SARA sejak mengetahui sistem itu tergendala pada hari pertama.

“Bantuan ini sangat membantu kurangkan kos sara hidup. Semalam tak boleh guna, hari ini mungkin ramai, jadi saya biar orang lain beli dulu.

"Hari ini juga 1 September, ada orang baru dapat gaji dan ada bantuan SARA bulanan. Ditambah pula dengan jualan diskaun sempena merdeka, jadi masih ramai orang.

"Saya akan tunggu seminggu dua lagi untuk tebus sebab bantuan ini boleh digunakan sehingga hujung tahun,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Bantuan SARA RM100 sekali beri kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira pendapatan.

Bantuan ini mula dikreditkan pada 31 Ogos 2025 dan boleh ditebus menggunakan MyKad masing-masing di semua premis jualan yang ditetapkan.