Dewan DPR kembali bersidang selepas dilanda gelombang demonstrasi

Iklan
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia kembali mengadakan mesyuarat di kompleks Parlimen, Jakarta pada Isnin. -Foto: Agensi

JAKARTA – Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia kembali mengadakan mesyuarat di Kompleks Parlimen, Jakarta pada Isnin selepas beberapa hari dikepung demonstrasi pelbagai kelompok masyarakat yang bertukar menjadi rusuhan.

Pada hari yang sama, Komisi I DPR mengadakan mesyuarat kerja bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) bagi membincangkan perbahasan Belanjawan Negara (APBN).

Iklan
Iklan

Beberapa anggota Komisi I turut hadir termasuk pengerusinya, Utut Adianto bersama Dave Laksono, Sukamta, TB Hasanuddin, Gavriel Novanto dan Andina Theresia Narang.

“Belanjawan negara ialah satu kitaran. Kitaran itu mesti mengikut mekanisme undang-undang,” kata Utut Adianto.

Iklan

Selain itu, Badan Legislasi DPR turut dijadualkan bersidang bagi membincangkan draf Rang Undang-Undang Perlindungan Pekerja Rumah Tangga (PPRT).

Sejak 25 Ogos lalu, Kompleks Parlimen dibanjiri penunjuk perasaan yang menuntut antaranya pemansuhan elaun besar ahli DPR.

Iklan

Pada 28 Ogos, kesatuan pekerja turut mengadakan aksi menuntut penghapusan sistem kontrak dan menolak gaji rendah. Namun, pada sebelah petang, protes oleh kumpulan lain bertukar menjadi huru-hara hingga berlarutan pada 29 dan 30 Ogos.

Keadaan itu memaksa Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan. – Agensi