Enam maut akibat protes, Indonesia perketat kawalan keselamatan

Iklan
Pihak berkuasa Indonesia memperketat kawalan keselamatan selepas enam orang terkorban dalam rusuhan berkaitan kesempitan ekonomi yang bertukar menjadi kemarahan terhadap pasukan polis negara. -AFP

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia memperketat kawalan keselamatan pada Isnin, selepas enam orang terbunuh dalam siri protes berkaitan kesempitan ekonomi rakyat.

Protes berdarah tersebut bermula minggu lalu susulan bantahan terhadap elaun kewangan untuk ahli Parlimen, sekali gus memaksa Presiden Prabowo Subianto membuat pusingan-U berhubung langkah berkenaan.

Iklan
Iklan

Demonstrasi pada awalnya berlangsung secara aman, namun bertukar ganas selepas rakaman video menunjukkan sebuah pasukan elit polis paramiliteri melanggar penunggang penghantar makanan, Affan Kurniawan, 21, pada Khamis malam.

Sejak itu, protes merebak dari Jakarta ke beberapa bandar utama lain termasuk Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di pulau Jawa, serta Medan di Sumatera Utara, menjadikannya rusuhan paling buruk sejak Prabowo mengambil alih kuasa.

Iklan

Lebih banyak perhimpunan pelajar dan penunjuk perasaan dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi sekitar kepulauan Indonesia pada Isnin.

Polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Jakarta, manakala jurucakap polis memberitahu Kompas TV bahawa anggota turut melakukan rondaan bagi 'melindungi' orang awam serta memberi rasa selamat.

Iklan

Pada Ahad malam, konvoi kereta perisai dan motosikal polis dihantar ke bangunan Parlimen sebagai amaran keras kepada penunjuk perasaan.

Krisis ini juga memaksa Prabowo membatalkan lawatan ke China minggu ini untuk menghadiri perarakan ketenteraan sempena memperingati tamatnya Perang Dunia Kedua.

Menteri Pertahanan yang juga sekutu rapat Prabowo, Sjafrie Sjamsoeddin, pada Ahad memberi amaran bahawa tentera dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap “perusuh dan perompak” selepas kediaman Menteri Kewangan dijarah.

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam kebakaran yang dicetuskan penunjuk perasaan di sebuah bangunan majlis daerah di Makassar pada Jumaat.

Seorang lagi mangsa di Makassar turut maut selepas dibelasah orang ramai kerana disyaki sebagai pegawai perisikan, kata pegawai agensi bencana tempatan, Muhammad Fadli Tahar kepada AFP pada Ahad.

Di Yogyakarta, Universiti Amikom Yogyakarta mengesahkan kematian pelajarnya, Rheza Sendy Pratama, ketika menyertai protes, namun punca kematian masih belum jelas.

Bagi mengelakkan rusuhan berlanjutan, TikTok pada Sabtu menggantung sementara ciri siaran langsung di Indonesia selama beberapa hari. Aplikasi media sosial itu mempunyai lebih 100 juta pengguna di negara berkenaan.-AFP