GERIK – Seorang bayi dipercayai baru dilahirkan ditemui meninggal dunia di belakang sebuah rumah di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar di sini pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, penemuan bayi malang itu terbongkar selepas petugas Klinik Kesihatan menerima kehadiran seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun.
“Pihak polis menerima panggilan pada jam 5.30 petang apabila pesakit itu tiba di klinik selepas mengalami pendarahan serius pada bahagian kemaluannya.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat koyakan besar sebelum remaja itu mengaku baru sahaja bersalin sendirian di rumah.
“Dia juga memaklumkan telah bertindak membuang bayi tersebut di belakang rumahnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Noor Hisam, bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya menjumpai bayi berkenaan.
“Bayi itu bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.